Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani..
Menarik bukan?? Pertama kali ana baca artikel atau lebih kepada surat seorang ayah kepada anaknya berkenaan syarat-syarat penggunaan 'mobile phone'. Disebabkan rasa ketertarikan tersebut, maka ana mengcopy paste untuk antum membacanya. Insyaallah, sama-sama kita ambil pengajaran.
Anak ayah yang disayangi,
Sudah tiba masanya anak ayah menggunakan telefon bimbit ini. Walau bagaimanapun ia bukan keperluan asas, tetapi adalah satu keistemewaan. Maknanya, kalau anak ayah melanggari perjanjian penggunaan ini, maka ayah berhak mengambilnya semula.
Ingat ya, telefon bimbit ini adalah sebahagian daripada anggota tubuh badan. Ia adalah otak kita yang kedua. Ia boleh menyimpan data dan maklumat dan boleh mengingatkan kita banyak perkara. Polis lebih mempercayai maklumat dalam telefon ini daripada otak kita sebab dia tidak menipu. Oleh itu, simpanlah di dalamya data-data yang baik-baik sahaja. Jangan masukkan di dalamnya bahan-bahan haram seperti gambar atau video lucah. Ia menggambarkan sikap dan akhlak kita juga.
Disebabkan ia adalah menggambarkan akhlak kita, pastikan anak ayah paparkan di “background”nya gambar yang soleh, bukan gambar orang yang tidak sopan. Telefon ini mengeluarkan suara, oleh itu pastikan “ringtone”nya tidak mengganggu orang lain sama ada tahap bising yang kuat atau iramanya tidak menyenangkan.
Setiap komunikasi hendaklah mulakan dengan salam yang sempurna. Sama ada menggunakan SMS atau suara. Dan setiap perbualan mesti (wajib) di tutup dengan doa sejahtera atau semoga bertemu lagi. Jangan biarkan tergantung menyebabkan pemanggil tertunggu-tunggu dariada kita.
Penggunaan di rumah
Adab bercakap dengan pemanggil di rumah sama seperti mana kita menerima kunjungan tetamu ke rumah ayah. Ayah hanya membenarkan anak ayah bercakap di ruang tamu sahaja (tidak di dalam bilik tidur anak ayah) melainkan pemanggil itu sejantina atau muhrim kita.
Waktu menggunakan telefon bimbit di rumah tetap sama seperti mana adab memasuki bilik tidur. Anak ayah tahukan, antara Isyak hingga subuh (setiap hari) dan antara zuhur dan asar (hari minggu dan cuti umum) waktu ini anak ayah tidak boleh masuk bilik ayah melainkan ketuk pintu minta kebenaran. Begitu juga telefon bimbit. Supaya pemanggil luar tidak merosakkan adab kita, antara waktu isyak hingga subuh, semua telefon bimbit di”senyap”kan atau matikan terus dan diletakkan di ruang tamu. Jika ada panggilan diwaktu-waktu “aurat” kita ini, kita jawab selepas waktunya. Ayah tak rela ada pemanggil lelaki yang bukan muhrim bercakap dengan anak ayah yang perempuan ini, di atas katil, pada waktu tengah malam, tanpa izin daripada ayah.
Jangan bawa telefon bimbit ini ke dalam tandas. Nanti susah untuk menjawab salam (sama ada sms atau suara) kalau ada orang memanggil kita.
Hukum membuat panggilan sama ada SMS atau suara
Anak ayah yang disayangi, walaupun belum ada hukum fiqah yang dikeluarkan, ayah menetapkan bahawa ada perkara-perkara yang HARAM anak men”dial” atau hantar sms kepada seseorang.
Pertama: Orang yang anak nampak dan tahu dia sedang sembahyang, sedang belajar dan sedang berkerja.
Kedua: Waktu aurat orang itu (antara isyak dan subuh) melainkan dia beri kebenaran.
Ketiga: Orang yang bukan muhrim yang tiada urusan dengan anak sama sekali.
Keempat: Dengan tujuan maksiat dan sewaktu dengannya.
Perkara yang MAKRUH pula ialah
Pertama: Waktu-waktu sembahyang fardhu jamaah orang itu.
Kedua: Sengaja membuat “miss call” melainkan diberi kebenaran.
Perkara yang SUNAT pula ialah
Pertama: Hubungi opah, atuk, mak cik-mak cik sebulan sekali. Tanyakan khabar mereka, ceritakan keadaan dan kesihatan keluarga kita dan doakan kesejahteraan untuk mereka.
Kedua: Menyebutkan nama atau memaparkan nama kita di hujung sms bagi orang yang tidak kerap kita hubunginya agar dia tidak tertanya-tanya siapa kita.
Ketiga: Minta kebenaran melalui sms dahulu untuk berkomunikasi dengannya.
Perkara yang WAJIB pula ialah
Pertama: Menjawab dengan kadar segera panggilan dan/atau sms. Jawapan yang paling lemah sekali ialah dengan memaklumkan kepada pemanggil melalui sms “OK”. Melainkan perkara itu maksiat dan keburukan.
Kedua: Menghubungi pihak berkuasa jika berlaku perkara yang menjejaskan keselamatan ummah.
Penggunaan di tempat awam
HARAM menghidupkan telefon bimbit.
Pertama: Tempat-tempat yang ada dipaparkan tanda tidak dibenar menggunakannya seperti di hospital kawasan tertentu, masjid, di sekolah dan sebagainya. Atau diumumkan seperti di dalam pesawat, dewan seminar atau kursus.
MAKRUH menggunakan telefon bimbit atau menaip sms,
Pertama: Sedang bersama rakan sama ada urusan formal atau tidak melain meminta izin mereka yang hadir dahulu. Malah di dalam teksi, sila anak minta kebenaran pemandu teksi sebelum menjawab atau membuat panggilan.
Kedua: Bercakap dan ketawa dengan pemanggil hingga mengganggu orang di sekeliling.
Ketiga: Menyebut keburukan orang lain dengan pemanggil hingga orang di sekeliling boleh mendengar dengan jelas (kekadang boleh naik tahap haram)
Cukuplah setakat ini dulu anak ayah . Jika timbul isu lain, nanti kita sama-sama buat “fatwa” yang lain pula.
Terimalah telefon bimbit Nokia N100 4G dari ayah untukmu.
Selamat mencuba..!!